Kaunter Imigresen ditutup sempena Tahun Baru Cina  

Posted by Hartge84

KUALA LUMPUR: Kaunter Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara akan ditutup antara tiga hingga empat hari sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina Ahad ini.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam Imihresen, Mohd Sharir Mohd Sani, berkata kaunter bagi Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak, tidak akan beroperasi mulai esok hingga Selasa depan.

"Manakala bagi Kedah, kaunter Imigresen tidak akan beroperasi mulai hari ini hingga isnin depan dan kaunter bagi Kelantan dan Terengganu akan ditutup mulai hari ini hingga Ahad ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan, ibu pejabat JIM, Putrajaya di talian 03-88801555 atau 03-88801556. - Bernama

Salam Takziah  

Posted by Hartge84

Kepada semua kakitangan Imigresen Malaysia,adalah diberitahu bahawa anak kepada TPPI (I) Abdul Kadir Bin Hussin, ketua operasi KLIA (KO) telah kembali ke rahmahtullah pada 07-feb-2010 yg lalu kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari tempat kerjanya di Port Dickson.Bersamalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat..Al-Fatihah...

Penangguhan Operasi Hanya Untuk Sektor Perkhidmatan  

Posted by Hartge84

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit selepas sambutan Tahun Baru Cina hanya membabitkan sektor perkhidmatan sahaja, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata penangguhan itu tidak termasuk untuk sektor lain seperti pembinaan dan pembuatan atau lain-lain sektor yang membabitkan pekerja asing.

"Ia juga membabitkan warga asing yang didapati melakukan kegiatan maksiat dan jenayah secara berleluasa... ini kerana kita tidak pernah membuat keputusan untuk mengadakan pengampunan jadi kerja-kerja penguatkuasaan mesti dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Abdul Rahman berkata pihaknya kini sedang berusaha mengurangkan masalah kesesakan di depoh tahanan pekerja asing tanpa izin di seluruh negara kerana pelaksanaan operasi besar-besaran itu nanti perlu dilaksanakan seiring dengan kedudukan depoh yang ada.

"Mereka yang ramai di depoh akan dihantar pulang segera supaya bila operasi itu dilaksanakan nanti tidak akan timbul isu-isu tidak ada tempat untuk diletakkan," katanya.

Jumaat lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan kerajaan memutuskan menangguhkan pelaksanaan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit yang asalnya dijadual bermula pada 15 Feb kepada selepas Tahun Baru Cina.

Penangguhan itu berikutan komitmen daripada para majikan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa membersihkan pekerja asing terbabit sebelum penguatkuasaan dijalankan.

Kebanjiran pekerja asing di Malaysia  

Posted by Hartge84

Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pendatang asing semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini dijangka meningkat unjuran kepada 28.306 juta. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran dan kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih serius.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.

Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai baru-baru ini menyedarkan negara bahawa mereka juga boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini akan menjadi kacau bilau kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal.

Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan tetapi pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai contoh walaupun belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan mengambil pekerja tempatan dan dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak. Majikan lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah dan tidak dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu lebih menguntungkan? Begitu juga sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya tetapi hidup dalam sua sana di kalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu?

Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran pekerja asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan harian mereka dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang kebun. Tetapi jika kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah seperti membunuh, samun bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka inilah yang menyedarkan mereka tentang keburukan pekerja asing. Menurut Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Polis, sehingga 30 Jun 2006 bilangan pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh Malaysia ialah seramai 362,958 kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.

Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini tetap ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.